KALAM PENYUSUN
Kertas kerja ini adalah dari tulisan asal as-Syeikh Ahmad Tirmizi bin Thaha yang disusun semula oleh Biro Akademik Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) sesi 08/09. Sebarang kesilapan yang berlaku dalam susunan kertas kerja ini hendaklah terlebih dahulu dirujuk kepada penyusun. Kertas kerja ini dibentangkan sempena kedatangan tahun baru 1430H. Semoga setiap usaha yang dilakukan ini mendapat pimpinan dari Allah Taala. Sebarang teguran terhadap kesilapan yang berlaku amatlah dialu-alukan. Kerjasama anda kami ucapkan Jazakumullahu Khairan Kathira.
Di bawah ini, disertakan doa yang pernah dibaca oleh Syeikh Mutawaali Sya’rawi Rahimahullah:
بِسْمِ اللهِ والحَمْدُ للهِ و الصَّلاَةُ والسَّلاَمُ على سَيِّدِنَا رَسُولِ اللهِ ، اللهمَّ إِنِّي أَدْعُوكَ بِما دَعَاكَ بِه أُوْلوا العَزْمِ مِنَ الرَّسُلِ ، فَأَدْعُوكَ بما دَعَاكَ بِه آدَمُ عليه السلام: رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ منَ الخَاسِرِيْنَ......وَأَدْعُوكَ بما دَعَاكَ بِه نُوحٌ عليه السلام حِيْنَ قَال: رَبِّ اغْفِرْ لِيْ وَلِوَالِدَيَّ وَلِمَنْ دَخَلَ بَيْتِيَ مُؤْمِنًا وَلِلْمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ وَلاَ تَزِدِ الظَالِمِيْنَ إِلاَّ تَبَارًا.... .وَنَدْعُوكَ بما دَعَاكَ بِه إِبْرَاهِيمُ عليه السلام حِيْنَمَا قَال: رَبِّ اجْعَلْنِيْ مُقِيْمَ الصَلَوةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِيْ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءَ.. و صلَّى اللهُ وسلَّمَ على سَيِّدِنَا مَوْلاَنَا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين والحمد لله رب العالمين.
Ketua Biro Akademik,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) sesi 08/09
Mukaddimah Penulis
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على نبينا محمد خاتم الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين وبعد :
Sempena kedatangan tahun baru Hijrah, maka saya persembahkan risalah ringkas secara bersiri kepada kaum Muslimin berkenaan amalan yang patut dilakukan pada bulan-bulan hijrah. Risalah ini saya namakan AMALAN PADA BULAN MUHARRAM. Sebenarnya usaha ini bukanlah perkara baru kerana ianya telah dilakukan oleh seorang ulama’ yang bernama Ibnu Rejab ( 736-795 ). Beliau telah mengarang sebuah kitab yang amat bermakna yang berjudul ‘LATHOIFUL MA’ARIF’. Kitab tersebut membicarakan berkenaan amalan-amalan yang perlu dilakukan pada bulan-bulan hijrah. Oleh kerana kitab tersebut perbahasannya agak mendalam, maka saya ringkaskan isi kandungannya dan sesuaikan dengan masyarakat setempat. Insyaallah kalau diberi kekuatan, saya akan membincangkan amalan setiap bulan sebelum tibanya bulan tersebut. Moga-moga usaha ini diterima Allah.
وصلى الله على محمد وعلى آله وصحبه وسلم
والحمد لله رب العالمين
BILANGAN BULAN DI SISI ALLAH
[ إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا في كِتَابِ اللهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ والأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ذَلِكَ الدِّيْنُ القَيِّمُ فَلاَ تَظْلِمُوا فيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ..........]
“ Sesungguhnya bulan di sisi Allah adalah sebanyak dua belas bulan sebagaimana yang tercatat pada kitab Allah semenjak ia mencipta langit dan bumi. Daripada bulan tersebut terdapat empat bulan Haram. Itulah agama yang lurus. Oleh itu janganlah kamu menzalimi diri kamu pada bulan-bulan tersebut”
( Surah at-Taubah: 36)
Sayyid Qutb berkata; "Allah menjelaskan di dalam ayat di atas bahawa bilangan bulan itu adalah di antara tanda-tanda kebesaran Allah dan bilangan tersebut telah ditetapkan semenjak azali lagi. Penetapan itu adalah sesuai dengan tabiat penciptaan alam. Oleh itu, makhluk tidak mungkin boleh mengubah bilangan bulan atau hari kerana semua itu telah ditentu oleh Allah Subhanahu Wa Taala".
[وعن أَبِيْ بَكْرَةَ رضي الله عنه عن النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلَّم : .....السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ثَلاَثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ ذُوالقَعْدَةِ وذوالحِجَّةِ والمُحَرَّمُ ورَجَبُ مُضَرَ بَيْنَ جُمَادَى و شَعْبَانَ ]
Dari Abi Bakrah katanya; dari Nabi Sollallahu’alaihiwasallam; “…… satu tahun mengandungi dua belas bulan. Di antara jumlah tersebut terdapat empat bulan Haram. Tiga bulan berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab Mudhor yang berada antara Jumada dan Syaa’ban”.
(Hadis Riwayat Bukhari)
Syeikh Izzudin berkata; “ Kemuliaan masa dan tempat itu dua jenis. Satunya berbentuk keduniaan dan yang kedua keagamaan. Jenis keagamaan ini adalah anugerah Allah kepada makhluknya supaya mereka lebih bersemangat beribadah”.
SEJARAH KELAHIRAN
PENGGUNAAN TAHUN HIJRAH
Bulan Hijrah sepertimana yang diguna pakai pada hari ini muncul di Zaman Jahiliyyah lagi. Akan tetapi, penggunaan bulan hijrah secara rasmi adalah berlaku pada masa pemerintahan Saidina Umar. Pengisytiharan penggunaan bulan Hijrah secara rasmi telah dilakukan pada Hari Rabu 20 Juumadaa akhirah pada tahun ke tujuh belas Hijrah bersamaan tahun 622 Masihi.
Menurut ahli sejarah, setiap negara yang dibuka oleh pendakwah Islam telah beramal dengan tahun dan bulan Hijrah dalam urusan kehidupan mereka di samping penggunaan tahun kebangsaan mereka masing-masing.
Akan tetapi, apabila Khilafah Uthmaniyyah Islamiyyah tersungkur menyembah bumi pada tahun 1924M, pihak penjajah telah menghapus amalan berpegang dengan tahun Hijrah dan digantikan dengan tahun Masihi.
Menurut ahli sejarah, ( kenyataan ini dinukil oleh Prof. Ahmad Syalabi dalam bukunya ‘ENSKLOPEDIA SEJARAH ISLAM’ ), apabila Mustafa Kamal Ataturk berjaya menumbangkan Khilafah Uthmaniyyah, dia telah menghapuskan undang-undang yang menyebut bahawa Islam agama Negara Turki, Undang-undang Islam diganti dengan Undang-undang Civil Sweden dan Undang-undang Itali, hari cuti umum ialah hari Ahad bukannya hari Jumaat sebagaimana yang diamalkan sebelum ini serta menghapuskan penggunaan tahun Hijrah dan diganti dengan penggunaan tahun Masihi...
Kesan dari tindakan tersebut, kita dapati kaum Muslimin lebih mengetahui bulan Masihi berbanding bulan Hijrah. Bahkan, terdapat anak-anak muda Islam yang tidak tahu bulan-bulan Islam atau bulan-bulan Hijrah. Bukan sekadar itu, mesyuarat berkenaan agama dan program agama terpaksa diumum menggunakan tarikh Masihi bukannya tarikh Hijrah atau Islam.
Menurut para pengkaji, sehingga kini semua negara umat Islam terkena penyakit di atas melainkan Saudi.
NAMA BULAN-BULAN HIJRAH DAN MAKNANYA
Nama-nama bulan Hijrah telah dikenali semenjak zaman Jahiliyyah. Cuma penggunaan secara rasmi adalah di zaman pemerintahan Umar bin al-Khattab Radiallahu’anhu sebagaimana dijelaskan sebelum ini.
Nama-nama bulan Hijrah dan maknanya adalah seperti berikut:
MUHARRAM
Bulan ini dikenali dengan Muharram kerana orang Arab sejak turun-temurun mengharamkan peperangan pada bulan ini.
SOFAR
Sofar bermakna kosong. Bulan ini dikenali sebagai Bulan Sofar kerana orang Arab mengosongkan kediaman mereka kerana mencari makanan dan berpindah ke tempat lain untuk menghindar diri dari musim panas yang melampau.
RABI’ULAWAL
Makna Rabi’ ialah musim bunga. Dinamakan bulan ini sebegitu kerana pada kebiasaannya bulan ini tiba pada awal musim bunga.
RABI’ULAKHIR
Maknanya ialah musim bunga yang terakhir. Ini kerana bulan ini tiba pada akhir musim bunga. Bulan ini dikenali juga sebagai Rabi’ussani.
JUUMADAL UULA
Maknanya ialah pembekuan yang pertama. Ini kerana bulan ini tiba ketika awal musim sejuk dan air menjadi beku.
JUUMADUL AKHIRAH
Maknanya ialah pembekuan yang akhir. Ini kerana bulan ini tiba ketika akhir musim sejuk dan air menjadi beku.
RAJAB (REJAB )
Kalimah Rajab bermakna gerun atau takut. Bulan ini dikenali dengan Rajab kerana orang Arab menghormati dan merasa gerun terhadap bulan ini. Lantaran itu mereka tidak berperang kerana tibanya bulan Rajab.
SYAA’BAN
Syaa’ban bermakna berkecai atau bertaburan. Bulan ini dinamakan sedemikian kerana orang Arab bertaburan di atas muka bumi kerana berperang setelah mereka tidak berbuat demikian pada bulan Rajab.
RAMADHAN
Ramadhan bermakna waktu yang sangat panas. Bulan ini dikenali sebagai Ramadhan kerana kebiasaannya ketibaan bulan ini adalah pada musim panas.
SYAWWAL
Syawwal bermakna kering atau kurang. Ini kerana pada kebiasaannya susu binatang akan kering atau kehabisan setelah musim kemarau ( bulan Ramadhan) melanda.
ZULQA’DAH ATAU ZULQI’DAH
Ia bermakna bulan duduk. Ini kerana orang Arab tidak berperang pada bulan tersebut dan duduk di tempat masing-masing kerana menghormati bulan tersebut.
ZULHIJJAH
Zulhijjah bermakna bulan yang dilakukan haji padanya
PEMIKIRAN KHURAFAT
BERKENAAN BULAN-BULAN HIJRAH
Penulis terbaca satu kenyataan berkenaan bulan Hijrah dan kaitannya dengan keperibadiaan seseorang. Penulis dapati kenyataan yang dibuat itu adalah menyeleweng dari ajaran Islam dan wajib ditolak. Berikut kenyataan khurafat yang dimaksudkan:
Seseorang itu dapat mengetahui tabiatnya melalui bulan kelahirannya. Tabiat itu adalah seperti berikut;
Muharram
Bersifat pendiam, sihat fikirannya. Mungkin akan menjadi bodoh jika tidak mendapat didikan yang sempurna. Walaupun begitu, jika dididik dengan baik dia boleh menjadi cerdik kerana bakat fikiran yang pintar cerdas ada padanya. Dia mempunyai keinginan yang baik dan selalu berada dalam selamat.
Safar
Tabiatnya buruk. Dia tidak suka mengaku kesalahannya. Ibu bapanya perlu mendidiknya bagi menghilangkan tabiat buruk itu. Jika tidak, kehidupannya akan menjadi susah di kemudian hari. Walaupun begitu, sekiranya dia melakukan sesuatu untuk kepentingan dirinya, selalunya ia akan mendatangkan hasil.
Rabi’ul Awal
Perwatakannya baik. Mungkin dia akan mendapat pangkat besar, menjadi orang yang berpengaruh atau kaya tanpa diduga. Dalam pekerjaan ramai yang suka. Sifat negatif dirinya termasuklah kurang sabar, hatinya keras dan mudah marah.
Rabi’ul Akhir
Perwatakannya jahat. Hatinya tidak tetap. Fikiran dan kemahuannya lemah, buruk nafsunya, kasar wataknya, mudah mengangkat tangannya. Kehidupannya menjadi sukar dan tabiat buruknya itu. Ibu bapa menempuh kesukaran dalam dirinya.
Jamadil Awal
Dia mempunyai tingkat keyakinan yang tinggi. Dia berani dan nekad, kadangkala melakukan sesuatu yang bodoh atau bahaya. Walaupun begitu, keberanian dan tekadnya itu akan menunjukkan hasil usahanya yang menemui kegagalan jua.
Jamadil Akhir
Wataknya berani. Hormat orang lain. Pelbagai kepandaian ada padanya. Apabila dia tahu bahawa dia salah atau keliru maka dia mudah mengakuinya, tetapi apabila dia mengetahui dia benar, pendiriannya keras dan tidak mahu mengalah. Semasa kecilnya, ibu bapanya perlu mendidiknya dengan baik agar terserlah sifat-sifatnya yang baik itu kerana jika betul didikannya, masa dewasa ia akan menyenangkan kedua orang tuanya.
Rejab
Semasa kecilnya dia degil dan nakal. Ibu bapanya patut mendidiknya dengan baik agar dia dapat menerapkan nilai-nilai yang baik. Ketika sudah dewasa, dia suka bersikap merendah diri dan bersikap tidak tahu menahu. Ini agak berlainan dari sikapnya semasa kecil. Walaubagaimanapun, hidupnya selamat dan sentosa.
Syaa’ban
Perwatakannya baik. Hidupnya selamat dan rezekinya tidak putus-putus. Sewaktu kecilnya, dia mudah mengalah semasa bermain dengan kawan-kawannya. Kelakuannya baik, berbudi bahasa sehingga semua orang sayang padanya. Masa dewasanya dia akan berjaya dalam segala kerjayanya dan mudah mendapat rezeki.
Ramadhan
Dia baik, pendiam dan suka merendah diri. Dia tidak angkuh kepada teman yang dikenalinya. Dia tidak suka menonjolkan dirinya. Kehidupannya selalu selamat.
Syawal
Perwatakannya keras. Hatinya keras. Dia tidak suka dikalahkan oleh orang lain. Hal ini membahayakan hidupnya. Oleh itu, ibu bapanya perlulah mendidiknya dengan betul bagi menghilangkan tabiat buruknya itu. Jika tidak, kehidupannya menjadi susah kerana perangai keras hatinya dan dia selalu bergaduh terutamanya dalam hal mencari rezeki.
Zulkaedah
Perwatakannya pendiam. Banyak perkara baik pada dirinya berubah menjadi buruk. Dia banyak berfikir kerana sifat ini. Suatu hari nanti, dia akan mendapat hasil yang baik dalam kehidupannya. Tetapi, oleh kerana banyak berfikir, perbuatannya kadangkala menjadi keliru. Dia seharusnya bertindak tanpa terlalu banyak berfikir untuk mendapat hasil yang memuaskan.
Zulhijjah
Jika dia jahat dia terlalu jahat. Jika baik terlalu baik pula. Dia sering mendapat padah dari perbuatannya sendiri. Dia sukar mengawal perasaannya. Kadangkala terlalu berlebih-lebihan atau sebaliknya. Oleh kerana dia tidak memberikan garis pemisah, dia sukar mempertimbangkan baik buruk pada perbuatannya. Dia sering kali menyesal kerana kurang hati-hati dan kurang pertimbangan.
Kenyataan seperti yang disebutkan itu adalah khurafat yang wajib ditolak. Ini kerana akhlak itu samada diwarisi dari keturunan atau diusaha melalui mujahadah yang dilakukan. Wallahuaa’lam.
AMALAN PADA BULAN MUHARRAM
KELEBIHAN BULAN MUHARRAM
Sabda Nabi Sollallahu’alaihiwasallam;
[ قَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلّم : أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللهِ المُحَرَّمُ ]
“ Sebaik-baik puasa selepas puasa Ramadhan ialah puasa pada bulan Allah iaitu bulan Muharram”
( Hadis Riwayat Imam Muslim)
Dalam hadis di atas Nabi Sollallahu’alaihiwasallam menamakan bulan Muharram sebagai bulan Allah. Ini membuktikan bulan Muharram adalah bulan yang dimuliakan oleh Allah. Perkara yang mulia atau waktu yang mulia dalam Islam seringkali dikaitkan dengan nama Allah. Sebagai contoh; rumah Allah, unta Allah dan bulan Allah. Oleh kerana bulan Muharram adalah bulan yang mulia, maka disunatkan memperbanyakkan amal soleh padanya untuk mendapat ganjaran yang disediakan oleh Allah Subhanahu Wa Taala.
AMALAN PADA BULAN MUHARRAM
Pada bulan Muharram disunatkan memperbanyakkan amal soleh secara umumnya, manakala secara khususnya amalan yang digalakkan padanya ialah sebulan berpuasa, berpuasa pada hari kesembilan dan kesepuluh.
PUASA SUNAT MUTLAK YANG PALING AFDHAL IALAH PADA BULAN MUHARRAM
[ قَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلّم : أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللهِ المُحَرَّمُ ]
“ Sebaik-baik puasa selepas puasa Ramadhan ialah puasa pada bulan Allah iaitu bulan Muharram”
(Hadis Riwayat Imam Muslim)
Dalam hadis di atas, menunjukkan bahawa puasa sunat yang paling afdhal ialah puasa sunat yang dilakukan pada bulan Muharram. Menurut para ulama’, maksud hadis di atas ialah puasa sunat selama sebulan paling afdhal dilakukan pada bulan Muharram. Adapun puasa sunat tidak sepenuhnya, maka puasa sunat pada Zulhijjah adalah paling afdhal.
SUNAT BERPUASA
PADA HARI KESEMBILAN MUHARRAM (TASU’AAA’)
Di antara puasa sunat yang digalakkan ialah berpuasa sunat pada hari yang kesembilan Muharram atau dikenali sebagai hari Tasu’aaa’.
Perkara ini berdasarkan hadis berikut;
[ قال أبُو غَطَفَانَ بْنَ طَرِيْفٍ المُرِيِّ سَمِعْتُ عَبْدَ اللهِ بْنِ عَبَّاسٍ رضي الله عنهما يَقُولُ حِيْنَ صَام رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلّم يَوْمَ عَاشُورَاءَ وأَمَرَ بِصِيَامِهِ ، قالوا : يا رسولَ اللهِ ، إِنَّهُ يَوْمٌ تَعْظِمُهُ اليَهُودُ والنَصَارَى. فقال رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه: فَإِذَا كَانَ العَامُ المُقْبِلُ إن شاء اللهُ صُمْنَا اليَوْمُ التَّاسِعُ ]
“ Abu ghathofan berkata, aku pernah mendengar Ibnu Abbas berkata; ketika mana Nabi Sollallahu’alaihiwasallam berpuasa pada hari ‘Asyura, Baginda Sollallahu’alaihiwasallam telah menyuruh para sahabat berpuasa pada hari tersebut. Para sahabat bertanya, wahai Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam, hari Asyura’ itu hari yang dimuliakan oleh Yahudi dan Nasrani. Nabi Sollallahu’alaihiwasallam bersabda; (kalau begitu), apabila tiba tahun hadapan,- insyaallah- kita juga akan berpuasa pada hari kesembilan.
(Hadis Riwayat Imam Muslim)
HIKMAT DISUNATKAN BERPUASA
PADA HARI KESEMBILAN MUHARRAM
Menurut para ulama’, hikmat sunat berpuasa pada hari yang kesembilan Muharram ialah untuk membezakan diri dari kelakuan golongan Yahudi. Golongan Yahudi hanya berpuasa pada hari kesepuluh sahaja. Oleh itu, disunatkan berpuasa pada hari yang kesembilan dan kesepuluh sebagai tanda perbezaan antara kaum Muslimin dengan golongan Yahudi.
PUASA SUNAT PADA HARI KESEPULUH MUHARRAM
Berpuasa sunat pada hari Asyura’ adalah sunat hukumnya. Nabi Sollallahu’alaihiwasallam berpuasa pada hari tersebut dan memberitahu bahawa berpuasa sunat pada hari tersebut mendapat ganjaran yang besar.
[ عن ابنِ عَبَّاسٍ رضي الله عنهما قال : مَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلّم يَتَحَرَّى صِيَامَ يَوْمٍ فَضَّلَهُ عَلَى غَيْرِهِ إِلَّا هَذَا اليَوْمَ يَوْمَ عَاشُوْرَاءَ وهَذَا الشَّهْرَ يَعْنِي شَهْرَ رَمَضَانَ ]
“ Dari Ibnu Abbas katanya; aku tidak pernah melihat Nabi Sollallahu’alaihiwasallam bersungguh-sungguh berpuasa sunat selain dari Hari Asyura’ dan pada bulan ini iaitu bulan Ramadhan”
( Hadis Riwayat Bukhari)
KELEBIHAN BERPUASA PADA HARI ASYURA
Berpuasa sunat pada Hari Asyura mempunyai kelebihan yang besar. Nabi Sollallahu’alaihiwasallam telah menjelaskan kelebihan berpuasa pada hari tersebut dengan sabda Baginda Sollallahu’alaihiwasallam;
[ صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ على اللهِ أنْ يُكَفِّرُ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ والسَّنَةَ التي بَعْدَهُ وصِيَامُ يَوْمِ عَاشُوْرَاءَ أَحْتَسِبُ على اللهِ أنْ يُكَفِّرُ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ ]
“ Berpuasa sunat pada Hari Arafah aku mengharapkan Allah menghapuskan dengannya dosa setahun sebelumnya dan setahun selepasnya. Berpuasa Asyura pula, aku mengharapkan kepada Allah agar ia dapat menghapuskan dengannya dosa setahun sebelumnya.
(Hadis Riwayat Imam Muslim)
Hadis berikut menerangkan bahawa berpuasa sunat pada Hari Asyura dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya.
DOSA YANG DIHAPUSKAN OLEH
PUASA SUNAT PADA HARI ASYURA
Menurut para ulama’, dosa yang dapat dihapuskan oleh puasa sunat pada hari Asyura ialah dosa kecil sahaja. Menurut Imam Nawawi, jika sekiranya seseorang itu berpuasa sunat Asyura maka besar harapan agar dosa besar itu diringankan oleh Allah.
PERHATIAN!!!
Terdapat orang tersilap faham atau terkena bisikan iblis tanpa ia sedari. Lantaran itu, ia tertipu dengan amalan sendiri. Di antara golongan tersebut ialah mereka beranggapan bahawa kelebihan yang disediakan oleh Allah itu menunjukkan kita tidak perlu bersungguh-sungguh beribadat. Pada perkiraan mereka, puasa sunat pada Hari Asyura dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya.
Kemudiaan apabila seseorang itu berpuasa pada Hari Arafah maka dia mendapat anugerah dihapuskan dosanya untuk dua tahun. Oleh itu, sudah pasti amal soleh telah melebihi dosa yang dikerjakan. Menurut Ibnu al-Qayyim, akibat kefahaman yang menyeleweng ini, maka mereka melakukan maksiat tanpa merasa takut kepada Allah.
Golongan tersebut sebenarnya dirasuk oleh bisikan syaitan. Mereka tidak menjadikan Nabi Sollallahu’alaihiwasallam sebagai ikutan mereka. Mereka sebenarnya jauh dari rahmat Allah.
HUKUM BERPUASA SUNAT HARI ASYURA BAGI MEREKA YANG BELUM MENQADHA’ PUASA WAJIB
Menurut Mazhab syafi’e, makruh bagi orang yang belum menqadha’ puasa wajib mengerjakan puasa Sunat Asyura. Sepatutnya ia menyegerakan dan mengutamakan puasa wajib dari puasa sunat.
Akan tetapi, jika seseorang itu berniat qadha’ puasa wajib dan berpuasa sunat pada Hari Asyura (berpuasa dengan dua niat puasa), maka hukumnya tidaklah makruh. Bahkan, dikurniakan kepadanya kelebihan berpuasa Sunat Asyura, Insyaallah.
HUKUM BERPUASA PADA HARI KESEPULUH SAHAJA
Tidak menjadi kesalahan atau makruh berpuasa pada hari kesepuluh sahaja tanpa digabungkan dengan puasa pada hari kesembilan.
HUKUM BERPUASA HARI ASYURA
YANG JATUH PADA HARI JUMAAT ATAU SABTU
Berpuasa pada hari Jumaat sahaja tanpa digabungkan dengan puasa pada hari Khamis atau Sabtu adalah makruh hukumnya. Begitu juga makruh berpuasa pada hari Sabtu sahaja tanpa diikuti dengan puasa pada hari Jumaat atau Ahad. Hukum makruh itu bersyarat berpuasa tanpa sebarang sebab. Adapun sekiranya berpuasa pada Hari Jumaat sahaja atau Hari Sabtu sahaja dengan sebab qadha’ atau hari tersebut kebetulan giliran hari puasanya atau disebabkan hari tersebut jatuh pada hari-hari yang dimuliakan, maka hukum berpuasa pada Hari Jumaat sahaja atau Hari Sabtu sahaja tidaklah makruh.
PERISTIWA-PERISTIWA PENTING PADA HARI ASYURA
Pada Hari Asyura, berlaku beberapa peristiwa penting. Di antaranya ialah Nabi Musa ‘Alaihissalam terselamat dari buruan Firaun, Nabi Nuh ‘Alaihissalam terselamat dari banjir besar dan penerimaan taubat Nabi Adam ‘Alaihissalam sebagaimana yang datang pada hadis yang lemah.
Peristiwa-peristiwa di atas telah dinyatakan dalam hadis-hadis berikut;
[ عن أبي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه قال: مَرَّ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلّم بِأُنَاسٍ منَ اليَهُودِ قَدْ صَامُوا يَوْمَ عَاشُوْرَاءَ فقال : ما هَذَا الصَّوْم ، قالوا : هَذَا اليَوْمُ الذي نَجَّى اللهُ مُوسَى و بَنِي إِسْرَائِيْلَ منَ الغَرَقِ وغَرَّقَ فِيهِ فِرْعَوْنَ وهَذَا يَوْمُ اسْتَوَتْ فِيهِ السَفِيْنَةُ على الجُودِيِّ فَصَامَ نُوحٌ ومُوسَى شُكْرًا للهِ تعالى. فقال النبيُّ صلى الله عليه وسلّم : أناْ أَحَقُّ بِمُوسَى وأحَقُّ بِصَوْمِ هَذَا اليَوْمِ . فَأَمَرَ أَصْحَابَهُ بِالصَومِ ]
“ Dari Abu Hurairah Radiallahu’anhu katanya; Nabi Sollallahu’alaihiwasallam melalui sekumpulan manusia dari golongan Yahudi yang sedang berpuasa pada Hari Asyura’. Nabi Sollallahu’alaihiwasallam bersabda: Kenapa berpuasa pada hari ini? Mereka menjawab inilah hari yang Allah menyelamatkan Nabi Musa dan Bani
(Hadis Riwayat Imam Ahmad)
ASAL USUL PUASA HARI ASYURA
Berpuasa pada Hari Asyura telah diamalkan sejak zaman Jahiliyyah lagi. Saidatina ‘Aisyah Radiallahu’anha menjelaskan bahawa orang Jahiliyyah sejak turun temurun berpuasa pada Hari Asyura. Imam al-Qurthubi berpendapat bahawa orang Quraisy berpuasa pada hari ‘Asyura kerana mengikut agama Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam.
Menurut beberapa riwayat yang shahih, Nabi Sollallahu’alaihiwsallam telah berpuasa pada Asyura sebelum berhijrah ke Madinah. Bahkan menurut hadis yang shahih juga, berpuasa hari Asyura adalah wajib hukumnya, kemudian apabila diwajibkan berpuasa Ramadhan, maka berpuasa pada hari Asyura hukumnya menjadi sunat.
Kesimpulan dari perbincangan di atas, puasa sunat yang paling afdhal pada bulan Muharram ialah berpuasa sunat pada kebanyakan harinya termasuk hari Asyura dan hari Tasua’aa’. Kemudian berpuasa pada hari Asyura dan hari Tasu’aaa’ sahaja. Kemudian berpuasa pada hari Asyura sahaja atau hari Tasu’aaa’ sahaja.
BULAN MUHARRAM BULAN TAUBAT
Terdapat dalam hadis yang terlalu lemah yang menyatakan bahawa Allah menerima taubat Nabi Adam pada bulan Muharram. Oleh itu, sewajarnya kaum Muslimin memperbanyakkan taubat pada bulan tersebut.
Sebagai penyempurnaan kepada amalan bertaubat, di sini kami catat gesaan dan tunjuk ajar Khalifah Umar bin Abdul Aziz kepada rakyatnya apabila hendak bertaubat.
Khalifah Umar Abdul Aziz telah mengeluarkan
Katalah kamu sebagaimana kata Nabi Adam ‘Alaihissalam;
رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ منَ الخَاسِرِيْنَ
“ Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami menzalimi diri kami sendiri. Jika sekiranya Engkau tidak mengampuni kami dan merahmati kami nescaya kami akan menjadi orang-orang yang rugi”
Ucaplah sebagaimana ucapan Nabi Nuh ‘Alaihissalam;
وإِلَّا تَغْفِرْ لِي وتَرْحَمْني أَكُنْ منَ الخَاسِرِيْنَ
“ Jika sekiranya Engkau tidak mengampuni daku, dan merahmati daku, nescaya aku termasuk di dalam golongan yang rugi”
Sebutlah apa yang disebut oleh Nabi Musa ‘Alaihissalam;
" رَبِّي إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي فَاغْفِرْلِيْ "
“ Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri, maka ampunilah daku”
Ucaplah ucapan Nabi Yunus ‘Alaihissalam;
" لا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ منَ الظَالِمِيْنَ "
“ Tiada Tuhan melainkan Engkau, sesungguhnya adalah aku termasuk dalam golongan orang yang zalim”
BEBERAPA PERKARA PENTING
BERKAITAN KEDATANGAN BULAN MUHARRAM
1) HUKUM MENYEDIAKAN MAKANAN PADA HARI ASYURA SECARA MEWAH
”Barangsiapa yang memberi kelapangan kepada keluarganya (berbelanja lebih) pada Hari Asyura nescaya Allah akan member kelapangan kepadanya selama setahun”
Hadis di atas telah didebatkan oleh para ulama’ dan kedudukannya. Sebahagian ulama’ menghukum hadis di atas sebagai hadis palsu. Sebahagian yang lain pula berpendapat hadis di atas adalah terlalu lemah dan tidak boleh diamalkan. Sebahagian yang lain pula berpendapat bahawa hadis ini boleh diamalkan. Kekhilafan di atas sebenarnya patut diberi perhatian oleh masyarakat Islam di Malaysia secara khusus. Ini disebabkan pada hari Asyura, acara memasak sure akan dilakukan.
Kalau kita membuat penilaian kepada amalan masyarakat Melayu kita, kita akan dapati mereka melakukan perkara berikut pada hari Asyura:
1) Memasak suree
2) Sebahagian berpuasa, sebahagian tidak berpuasa.
Berkenaan memasak suree, perlu diberi perhatian dari segi kaitan suree dengan hari Asyura. Persoalan yang sepatutnya ditanya ialah; apakah kaitan antara makanan sure dengan hari tersebut? Apakah anggapan masyarakat terhadap penyediaan makanan suree pada hari tersebut?
Ringkasnya, pegangan masyarakat itu adalah penentu hukum kepada amalan tersebut.
Berkenaan tidak berpuasa sunat pada hari Asyura tetapi bersungguh-sungguh menyediakan suree juga patut diberi perhatian. Apa yang dilakukan oleh Nabi Sollallahu’alaihiwasallam adalah berpuasa sunat pada hari tersebut. Adapun penyediaan makanan secara mewah adalah perselisihan dalam kalangan ulama’.
Oleh itu, alangkah eloknya kalau pada hari kesembilan dan hari kesepuluh itu, masjid atau surau menganjur ifthor jamai’i sebagai mengikut Sunnah Nabi Sollallahu’alaihiwasallam berpuasa sunat pada hari tersebut.
2) MENGUCAP TAHNIAH SEMPENA KEDATANGAN TAHUN BARU
Menurut al-Qomuli, kami tidak pernah menemui ulasan para ulama’ berkenaan ucapan tahniah sempena kedatangan tahun baru atau bulan baru. Akan tetapi, melihat catatan Syeikh Zakiyuddin Abdul ‘Azim yang menyebut bahawa al-Hafiz Abul Hasan al-Maqdisi ditanya berkenaan perbuatan mengucap tahniah sempena kedatangan tahun baru dan bulan baru. Beliau berpendapat hukumnya adalah harus bukannya sunat atau bid’ah yang keji
3) DOA TAHUN BARU
Bulan Muharram adalah bulan yang pertama mengikut bulan Hijrah. Oleh itu, kedatangan bulan Muharram menandakan tibanya tahun baru. Sesetengah tempat diedar doa tahun baru. Berkenaan doa tahun baru, sebenarnya tidak pernah dilakukan oleh Nabi Sollallahu’alaihiwasallam dan para sahabat sebagaimana mereka tidak pernah menyambut hari lahir mereka.
Sekian, wassalam.
Penghulu istighfar;
اللهمَّ أَنْتَ رَبِّي ، لا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ ، خَلَقْتَنِي وأناْ عَبْدُكَ ، وأناْ على عَهْدِكَ ووَعْدِكَ ما اسْتَطَعْتُ ، أَعُوْذُ بِكَ منْ شَرِّ ما صَنَعْتُ ، أَبُوءُلَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيّ وَأَبُوءَُ بِذَنْبِي ، اغْفِرْ لِي ، فَإِنَّهُ لا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلا أَنْتَ
Nabi Solllahu’alaihiwasallam bersabda;
“ Barangsiapa yang mengucapnya pada waktu siang dengan penuh keyakinan lalu ia mati sebelum tiba waktu petang, maka dia adalah ahli syurga. Barangsiapa yang mengucapnya pada waktu petang dengan penuh keyakinan, maka ia mati sebelum tiba waktu pagi, maka dia adalah ahli syurga. “
وصلى الله على محمد وعلى آله وصحبه وسلم
والحمد لله رب العالمين
0 comments:
Posting Komentar